"Mengubah Dunia Perfileman" merupakan laungan saya sejak dua tahun yang lepas. Cita-cita ini menghasilkan kebersamaan '2 Marhala Production' (badan produksi filem pendek yang dianggotai Nazirul Haziq) dalam Hamasah As-Syabab.
Konsep kami mudah sahaja. Kita memerlukan golongan yang faham Islam dan bijak pandai dalam bidang media. Sekiranya tidak, kita akan terus menyaksikan kebodohan dan juga pembodohan hingga ke akhir zaman. Cukuplah sudah tempelak dan rungutan yang tidak bersudah.
Maka lahirlah pegangan kami, "Challenge the Norm".
Perjalanan hidup kami biarpun baru dua tahun, cukup jelas perbezaannya dengan kehidupan pelajar-pelajar lain yang juga cemerlang lepasan SPM seperti kami.
Barangkali bagi sesetengah orang, mereka hanya melihat Dunia ini sebagai 'sambung belajar' dan 'tak nak belajar'. Mereka tidak mampu melihat kewujudan Dunia selain daripada Dunia akademik. Natijahnya, ada pelbagai jenis persepsi terhadap kami. Namun, itu adalah kisah di lain hari.
Agenda mengubah Dunia Perfileman yang dibawa kami sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka di sekeliling. Biarpun kami cuba menafikannya, tetapi ia mustahil. Kami tetap melihat perkembangan pemuda-pemuda yang menggalas cita-cita seperti kami malah jelas terpampang kesan-kesan pada mereka yang datangnya daripada Hamasah As-Syabab.
Oleh itu, kami menanggung amanah menunjukkan jalan buat mereka yang bakal menelusuri selepas kami. Kejayaan agenda perubahan Dunia Perfileman terletak pada kami. Kami perlu berusaha habis-habisan demi dakwah hingga mati syahid menjemput atau kejayaan datang mengangkat.
Sekiranya kami memilih untuk lari sebaliknya, kami akan digantikan dengan ejen pengubah yang lebih mencintaiNya dan juga berkebolehan serta berkeyakinan. Agenda dakwah tidak akan sesekali gagal dengan izinNya.
Berkenaan: Recruit: The Unseen Enemy
Mengapa Dunia Perfileman perlu diubah?
Mudah sahaja. Ia sangat berkesan dalam mencorak hati-hati para pemuda. Filem mampu memberi penghayatan yang tinggi dalam insan-insan bersifat visual. Kita mampu membangkitkan semangat para pemuda melaluinya, dan pada masa yang sama, kita juga mampu menanam satu-satu fikrah secara efisyen dalam dirinya.
Berjaya ataupun tidak, kami tetap akan berjaya. Pasti akan ada yang terkesan dan itu akan menjadi saksi bagi usaha kami insyaAllah. Ini bukan agenda setahun dua tahun. Sebaliknya, ia memakan masa ratusan tahun. Maka bersabarlah buat anda yang menyokong agenda ini. Nescaya ada habuannya buat kita kelak.
Ini agenda kami.
Bagaimana dengan anda?
Bagaimana dengan anda?
No comments:
Post a Comment