Ramai tertanya-tanya akan kaedah mencungkil bakat yang paling berkesan. Baik ibu bapa mahupun anak-anak sendiri. Masing-masing teruja hendak mengetahui jawapannya.
Mereka mengharapkan penyelamat kepada situasi 'kehidupan serba biasa' mereka. Orang Melayu akan gambarkan keadaan ini sebagai 'menantikan kucing bertanduk' atau 'menanti bulan jatuh ke riba'. Mereka mendoakan agar suatu kejadian luar biasa datang mengubah kehidupan mereka sedangkan Allah SWT telah berfirman;
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."
Ar-Ra'd ayat 11
InsyaAllah saya ingin timbulkan satu persoalan.
Katakanlah Lee Chong Wei tidak pernah memegang raket badminton sejak lahir. Adakah ada kebarangkalian untuk kita mengatakan dia berbakat dalam badminton?
Bagaimana pula sekiranya Ustaz Salim A. Fillah tidak pernah menulis sebarang buku mahupun artikel? Apakah kita akan menggelarkannya seorang penulis yang hebat sedangkan dia tidak layak pun?
Akhir sekali, bayangkan Sultan Muhammad al-Fateh tidak melancarkan sebarang usaha penaklukan Konstantinopel? Mungkinkah kita memberinya kreditasi sepertimana dilakukan zaman ini?
Sedarkah anda? Mereka yang kita katakan sebagai hebat dan berbakat ada satu persamaan yang ketara iaitu MEREKA MELAKUKAN SESUATU. Kita hanya memberi gelaran 'berbakat' kepada seseorang apabila dia melakukan sesuatu. Sekiranya mereka tidak berbuat sedemikian, kita pula yang janggal nak katakan dirinya berbakat. Tidak begitu?
Oleh itu, jawapan saya kepada anda yang bercita-cita hendak menjadi 'berbakat' atau tercari-cari potensi diri anda, anda hanya ambil satu langkah sahaja.
MULA BUAT SESUATU.
Apabila anda bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan anda, barulah anda layak diberi gelaran berpotensi. Selagi mana anda berbuat, selagi itulah anda berpotensi besar. Ketahuilah bahwa tiada penghujung bagi potensi diri kita. Kita akan terus berjuang hingga ke akhir hayat.
Biarlah kita bekerja dengan bersungguh-sungguh dan Allah akan menilai usaha kita. Nescaya itu lebih menenangkan dan membahagiakan.
No comments:
Post a Comment