Total Pageviews

Home

Apabila Semangat Itu Pudar





    Tidak sedikit orang menyangka saya ini kebal daripada sindrom semangat yang naik dan turun. Mungkin puncanya adalah saya membawa imej 'semangat pemuda' atau bahasa Arabnya 'Hamasah As-Syabab'.

     Namun begitu, saya perlu akui bahawa saya juga mengalami situasi-situasi di mana semangat hilang sama sekali daripada tubuh saya. Situasi yang biasa-biasa sahaja sebenarnya. 

     Cuma, apakah tindakan saya apabila keadaan tersebut berlaku?

1) Layankan sahaja.

    Memandangkan kehilangan semangat adalah perkara biasa, maka kenapa perlu berlebih-lebihan dalam menghadapinya? Bertenang dan teruskan kehidupan seperti biasa.

     Benar, anda akan terasa seolah-olah separuh ruh anda tiada dalam jasad ketika melaksanakan tugas-tugasan yang perlu disiapkan segera. Masa bergerak perlahan. Bukan suatu kondisi yang menarik untuk dilalui. Itu saya setujui sungguh.

    Walau bagaimanapun, kerja tetap kerja, tanggungjawab tetap tanggungjawab. Amanah perlu ditunaikan dan itu kita akan lakukan. Biarpun tanpa semangat!

2) Cari masa untuk bersyukur

    Ingat. Semangat itu kurnia Allah SWT. Hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa menitipkan semangat ke dalam tubuh kita. Oleh itu, ambilllah peluang ini untuk bersyukur dan memohon agar terus dikurniakan semangat.

     Apabila bersemangat, jarang sekali kita ada masa untuk 'slow down' dan bermuhasabah. Atas sebab itu, peluang keemasan ini jangan kita rugikan!

3) Adakan 'Mini Challenge Project'

    Orang bersemangat suka akan cabaran. Apabila cabaran tiada, maka dia akan jadi 'lemau'.

    Bagi membangkitkan kembali semangat, wajar sekiranya diadakan 'Mini Challenge Project'. Pastikan ianya ringkas dan mudah supaya tidak mengganggu proses mencapai matlamat besar yang asal. Namun, jangan pula terlalu remeh hingga tidak mencabar langsung.

4) Keluarkan peluh

    Semangat berkait rapat dengan adrenalin. Adrenalin membawa tubuh manusia mengatasi had biasanya sekaligus membolehkan pembuahan hasil yang lebih memberangsangkan.

     Maka, salah satu cara bagi meningkatkan kembali semangat adalah melalui senaman yang meningkatkan adrenalin. Antaranya adalah mengamalkan rutin seni mempertahankan diri seperti Tae Kwon Do, silat, Wushu dan lain-lain.


....

    Ini cara saya, bagaimana pula anda?



No comments:

Post a Comment