Kehidupan Di Sebalik Gelaran 'Dropout'




     Ramai menyatakan perasaan masing-masing terhadap saya secara terbuka. Kagum, hormat, bangga, pelik, sinis dan macam-macam lagi. Semuanya apabila mereka mendapat tahu bahawa saya 'drop' peluang menjadi pakar perubatan demi menggalas tanggungjawab mencorak Dunia Perfileman.

     Bagi sesetengah orang, saya kelihatan seperti seorang lagi anak muda yang tidak ingin belajar dan berhasrat untuk terus menjana pendapatan. Gopoh, kata mereka. Pada masa yang sama, sebahagian lagi pula melihat saya sebagai pemuda yang penuh keyakinan dan keberanian dalam mengejar cita-cita sendiri hingga sanggup menongkah arus Dunia.

     Ada ibu bapa yang mengerutkan dahi mereka apabila melihat saya, barangkali merasa simpati kepada ibu bapa saya dan dalam diam mendoakan anak mereka 'taat' kepada norma masyarakat sekaligus menyelamatkan air muka mereka. Begitu juga dengan sebahagian golongan akademik yang memandang saya sebagai seseorang yang tidak berdisiplin dan kurang bertamadun.

     Malah para pemuda juga berbeza pandangan mereka terhadap saya. Ada yang memandang tinggi, tetapi ada juga yang memandang enteng. Seramai mereka yang menyokong, seramai itu jualah yang menentang.

     Kesimpulannya, tidak semua setuju ataupun tidak setuju. Masing-masing memiliki pendirian tersendiri. Perkara paling penting adalah kita semua perlu segera mengisi tempat-tempat kritikal dalam usaha memimpin Ummah menuju kemuliaan dan menjauhi kebinasaan.

     InsyaAllah, saya ingin berkongsi beberapa perkara mengenai kehidupan di sebalik gelaran 'dropout'. Moga ianya bermanfaat dalam meredakan api kemarahan sesetengah daripada kalian. Selain itu, saya berdoa ia mampu memberi maklumat yang berfaedah kepada mereka yang melihat keperluan untuk menelusuri jalan yang sama seperti saya.

1) Saya bekerja setiap hari

     Ya, saya bekerja setiap hari. Namun begitu, definisi kerja saya adalah berbeza dengan sebahagian besar populasi manusia di Dunia ini. Saya mengharungi setiap hari dengan satu semangat yang sentiasa membara. Kerja saya adalah kehidupan saya, begitu juga kehidupan saya adalah kerja saya.

     Saya menggalas tanggungjawab mencorak Dunia Perfileman dengan kefahaman bahawa ianya penting bagi gerabak dakwah ini. Maka saya bersedia untuk mengorbankan segalanya demi kejayaan perjuangan ini.

     Oleh kerana itu, besar kemungkinan anda akan sentiasa dengar daripada saya, 

     "Ada kerja nak kena siapkan lagi ini"
     "Kejap ya, nak buat kerja sikit"
     "Ada banyak lagi kerja".

     Mungkin anda merasakan saya ini 'workaholic'. Barangkali. Sekiranya ia bermakna saya bersungguh-sungguh di jalan dakwah, maka saya berbangga dengannya.

     Inilah perkara penting yang ingin saya tekankan kepada Duat sekalian. Beramallah di medan yang potensi anda akan dimaksimakan. Bekerjalah di lapangan yang membuatkan anda bersemangat sentiasa dalam menegakkan syiar Islam.

   Berkenaan: Apa Potensi Diri Saya?

     Sekiranya anda merasa bermotivasi untuk bekerja setiap hari, ketahuilah bahawa ianya sesuatu yang sangat menguntungkan gerabak dakwah ini. Tak mungkin kita inginkan satu gerabak yang dipenuhi manusia-manusia yang muram dan lesu kerana kebosanan?

     Ya, saya bekerja setiap hari dan saya bahagia dengannya!

2) Saya belajar setiap hari

     Memilih untuk tidak berada dalam institut pengajian tidak bermakna kita dibenarkan untuk tidak menuntut ilmu. Institut pengajian hanyalah salah satu kaedah pembelajaran yang efektif. Bagi segelintir manusia, mereka belajar dengan lebih efektif di luar sistem tersebut. Sebagai contoh, sekiranya satu-satu mata pelajaran itu boleh dipelajari sendiri kurang setahun daripada tempoh penuh di institut, maka ianya jauh lebih menguntungkan.


    Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa guru adalah penting bagi memastikan pembelajaran adalah berkesan dan teratur. Maka, ianya satu cabaran bagi individu seperti saya untuk mencari guru dan juga bahan pengajian yang paling sesuai.


     Menuntut ilmu di luar sistem pengajian biasa adalah lebih sukar. Anda boleh lihat sendiri betapa ramai graduan akhirnya memilih untuk tidak menuntut ilmu selepas mula bekerja. Sedangkan ilmu itu perlu terus digali tanpa henti walau apa peringkat kehidupan yang sedang kita lalui.


     Oleh itu, saya ingin tekankan bahwa saya juga belajar sepertimana semua orang patut belajar. Cuma mungkin cara kita berbeza. Perkara paling penting adalah: cintailah ilmu.



"Sekiranya kamu tidak tahan lelahnya belajar, 
maka tanggunglah peritnya kebodohan."

Imam Syafie

3) Saya tak nak pun anda 'drop' juga.


     Tepat sekali!


     Saya tidak inginkan langsung situasi di mana anda perlu menjadi 'dropout' juga. Hal ini adalah kerana kehidupan sebagai 'dropout' bukanlah sesuatu yang menyeronokkan malah membahayakan melainkan anda bersedia untuk menanggung segala keperitan dan juga bersemangat dalam mengharungi ombak demi secebis kejayaan.


     Tidak. Ia tidak semudah "Aku malas dahlah nak belajar" atau "Asyik gagal je, baik aku kerja terus". Sekiranya anda tidak memiliki sebarang cita-cita dan juga kekentalan serta keazaman, campaklah ke mana sahaja, anda tetap akan lemas juga.



    Saya memilih untuk 'drop' kerana saya yakin akan keperluan untuk saya bergerak sepenuh masa awal (sementara semangat pemuda masih membara dan jangka hayat masih panjang dengan izinNya) demi kejayaan mencorak Dunia Perfileman. 


   Berkenaan: Agenda Mengubah Dunia Perfileman


    Sekiranya tak perlu 'drop', maka saya tidak akan melakukannya. Seronok ada ijazah tahu? Boleh tayang pada makcik-makcik kampung bila pulang beraya. Kurang soal jawabnya.


     Satu-satunya perkara yang anda boleh tunjukkan adalah hasil. Hasil itu pula akan hadir berpuluh-puluh tahun selepas itu. Sama ada anda masih hidup ataupun tidak, itu lain cerita pula. Oleh itu, anda perlu bersedia untuk berpenat lelah hingga ke nafas yang terakhir.


    Atas sebab itulah, saya tidak inginkan anda semua 'drop' pun sejujurnya. Lebih menguntungkan sekiranya anda semua menjadi pakar dalam bidang masing-masing. Mudah bagi saya mendapatkan khidmat anda kelak. Jimat wang, tenaga dan masa kerana tidak perlu membina kepakaran anda dari kosong. Kita boleh terus mula bekerjasama dalam menjayakan agenda menyelamatkan Ummah.


   Jadilah pakar, tahu?


   Ini tanggungjawab kita.


    Demi dakwah.




...


    Itulah serba sedikit kehidupan di sebalik gelaran 'dropout'. Bukanlah sesuatu yang besar pun sebenarnya. Kita semua sama sahaja. Perkara yang membezakan kita hanyalah taqwa. Berdasarkan neraca itu, saya mencabar anda semua untuk berlumba dalam mengerjakan kebaikan dan mengejar redhaNya.


     Fastabiqul khairat, ayuh!




4 comments:

  1. Kagum dengan keberanian suadara. Saya ada sorang kawan yang dropout jurusan engineering kat universiti. Kini, dia dah jadi CEO dan mempunyai syarikat sendiri. Semoga kalian terus berjaya dan dapat mengeluarkan movie yang awesome.

    ReplyDelete
  2. sekali kau dah tekad! teruskan, Allah sentiasa bersama kau! InsyaAllah

    ReplyDelete
  3. MOGA HAS TERUS MAJU..KAMI MENYOKONG USAHA ANTUM

    ReplyDelete
  4. Allah lebih tahu apa azam dan niat di hati. Moga usaha saudara utk terus menyumbang utk ummah dalam gerabak dakwah tarbiyah ini sentiasa diberkati olehNya, InshaAllah akan terus menyokong HAS!

    ReplyDelete