"Patutkah mereka merasa cukup dan tidak memikirkan dalam hati mereka, supaya mereka mengetahui,
bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu
melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa perhinggaannya yang tertentu.
Dan sebenarnya banyak di antara manusia,
orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya."
Ar-Rum ayat 8
Katakanlah: Bagaimanakah pandanganmu jika Allah menjadikan malam kepadamu tetap selama-lamanya
hingga ke hari Kiamat; siapakah selain Allah yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu?
Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar?
Al-Qasas ayat 71
antara jenis makhluk yang Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami, lalu mereka memilikinya?
Yasin ayat 71
Berulang-ulang kali manusia ditanyakan "Apakah kamu tidak berfikir?". Allah berterusan tanpa jemu bertanya pada kita manusia, "Takkanlah ...", "Tak terfikir ke ...?" "Tak pernah terasa nak tanya sekian sekian ...".
Seruan yang penuh kehairanan ini dirakam dalam al-Quran. Al-Quran sepatutnya menjadi panduan hidup seorang manusia. Ia menentukan batas-batas kehidupan dan juga cara melaluinya. Ia memberi panduan dan juga membimbing dalam menelusuri jalan tersebut.
Maka, berfikir adalah satu aktiviti yang jelas perlu dilakukan kita selaku manusia. Apabila kita berhenti memikirkan perihal apa-apa sekalipun, ini bermakna kita memilih untuk tidak menjadi manusia.
Cuba buka tingkap bilik anda, dan renung langit yang biru (atau hitam pada waktu malam). Kita fikir sejenak dengan pertanyaan ringkas berikut:
"Siapa selama ini tentukan langit itu di atas?"
Kemudian tanya pada diri sendiri, soalan yang berikut pula:
"Bagaimana sekiranya dia sudah tak mahukan langit itu terus berada sebegitu?"
Sudah pasti segala-galanya menjadi huru-hara bukan? Jika selama ini kita gelarkan perkara di atas itu langit, bila dia dah tak ada, apa pula ada di atas sana? Atau jika ia jatuh, maka apa pula kesannya pada bumi ini? Selama ini bumi adalah tanah yang kita pijak, tapi jika dia tak nak langit berada di atas, siapa boleh jamin dia masih nak bumi itu dibawah kita?
Bermacam jenis soalan kita boleh tanya pada diri sendiri dan ia cukup untuk kita meyakini kekuasaan Allah. Berapa minit sahaja yang kita perlukan untuk berfikir perkara sebegini? Tidak lama. Boleh jadi hanya seminit sahaja sudah mencukupi.
Namun begitu, apakah kesannya?
Sangat besar sekali bagi seorang hambaNya. Kita akan mampu merasai kebesaran Allah dan moga dengannya, kita boleh belajar untuk benar-benar menjadi seorang hamba. Luangkanlah seminit sahaja dan fikirkan perkara-perkara di sekeliling anda.
Satu soalan yang baru-baru ini menyelinap masuk ke dalam kepala saya adalah:
"Kenapa manusia berkahwin?"
Sekiranya kita bertanya pada kebanyakan pasangan mahupun yang belum lagi berpasangan, boleh jadi mereka kehilangan kata-kata. Sekiranya tidak, mereka akan jawab agar mereka boleh bersama pasangan pilihan secara halal. Boleh jadi juga supaya mereka boleh memperoleh zuriat.
"Tapi kenapa nak kena ada pasangan?"
"Kenapa perlu ada zuriat?"
"Kenapa ini, kenapa tak itu?"
Soalan-soalan sebegini sekiranya kita tanyakan pada diri dan juga pasangan kita, nescaya kita akan menjadi lebih jelas dengan matlamat kehidupan. Sekiranya sekadar zuriat, maka kehidupan lain pun bersama semata-mata untuk zuriat. Sekiranya sekadar nak bersama pasangan, begitu juga dengan makhluk Allah yang lain.
Apa bezanya kita selaku manusia? Tidakkah kita ada sesuatu yang lebih tinggi untuk dicapai selaku suatu makhluk istimewa yang dikurniakan akal pemikiran? Mengapa kita tidak pernah terfikir? Apakah kita sudah berhenti menjadi manusia?
Saya menemui asbab perkahwinan dalam Islam. Antaranya adalah sunnah Rasulullah SAW. dan tuntutan dalam al-Quran. Semua itu adalah sebab-sebab yang kukuh.
Sekiranya dari segi dakwah dan tarbiah pula, kita memasang cita-cita hendak membina masyarakat yang hidup dan matinya bersama Islam, dakwah dan tarbiah. Itu juga adalah matlamat yang jelas dan kukuh.
Kita boleh lanjutkan soalan-soalan ini ke semua perkara dalam kehidupan kita.
"Kenapa bekerja?"
"Kenapa nak kena terus hidup?"
"Kenapa susah-susah besarkan anak?"
Jawapan semuanya sudah ada di dalam al-Quran. Tinggal kita nak berfikir dan kemudian cari jawapan sahaja.
Kita perlu berfikir, barulah kita layak menjadi manusia!
No comments:
Post a Comment