Jauh Pengamatan, Luas Pemikiran




Orang kata, "Jauh perjalanan, luas pemandangan."


Natijah kata-kata itu adalah orang ramai berbondong-bondong hendak merantau ke seluruh dunia. Mereka berharap agar menemui secebis kematangan di sebalik kilometer-kilometer yang dijelajahi.

Namun begitu, ramai juga biarpun berjaya menjejaki hampir kesemua tempat di seluruh dunia, kembali sebagai insan yang tiada kematangan di sebalik perbicaraan. Hanya sebuah rekod perjalanan yang penuh pengalaman menetap dalam kepalanya.

Pada masa yang sama, ada orang yang biarpun hanya merantau ke kampung sebelah, ia membawa tahap kematangannya melonjak 80 tingkat tingginya. Apatah lagi individu yang merantau seluruh dunia dan perkembangan kematangannya berlipat ganda.

Apa rahsia kejayaan dua jenis individu tersebut?

Kuncinya terletak pada MUHASABAH.

Anda boleh merantau ke sana sini, hujung United Kingdom atau Africa. Anda boleh buat aktiviti lasak seperti 'skyboarding' atau 'bungee jump', mahupun berbasikal seluruh Semenanjung Malaysia.

Tapi tanpa sesi muhasabah, nescaya anda tidak pelajari apa-apa daripada semua itu. Benar, anda akan ada satu katalog pengalaman dan pengetahuan yang menarik, namun ia tidak memberi kesan kepada peribadi anda melainkan menjadikan anda lebih 'pandai' sedikit.

Anda perlu muhasabah dan tadabbur. Memerah setiap pengalaman dan mencari pengajaran untuk digunapakai. Kemudian beramal dengannya. Nescaya, itu lebih menguntungkan.

Oleh itu, saya ingin memperkenal satu teknik baru mematangkan diri:

"Jauh pengamatan, luas pemikiran."

...

Walau dalam bilik anda sekalipun, jika anda mengamati dengan cukup mendalam, nescaya anda akan merasai perubahan dalam diri anda.

Cubalah!

...

Saya tercabar dengan seseorang yang sudah mula menulis di blog kembali. Saya ingin berlumba dengannya menuju kebaikan, maka saya akan gigihkan diri untuk aktif di sini insyaAllah. Mohon didoakan kejayaan kami!


No comments:

Post a Comment