Apabila kita ingin memulakan sebuah usrah baru, kita perlu buat satu perkara asas iaitu merekrut orang. Kebiasaannya, jumlah dan jenis individu diperlukan berbeza mengikut matlamat yang ingin dicapai dan kapasiti diri sendiri.
Misalnya kita hendak melahirkan individu-individu yang kepakarannya adalah mencorak dunia perfileman, maka kita perlulah cari mereka yang memiliki minat dan keinginan tinggi dalam bidang tersebut. Bilangannya pula boleh jadi hanya tiga orang ataupun sepuluh orang.
Namun begitu, hakikat masyarakat sekarang adalah kebanyakan orang tidak tahu perihal minat dan kepakaran masing-masing. Saya diberi peluang olehNya untuk menemu ramah dan juga memberi nasihat kepada sekelompok pemuda.
Kebanyakannya tidak tahu apa minat dan bakat mereka tetapi mereka ikhlas ingin bersama gerabak dakwah ini. Mereka ingin berbakti kepada Ummah tercinta hingga ke nafas terakhir. Cuma persoalannya adalah bagaimana dan di mana?
Sejujurnya, saya sendiri pun tidak tahu apa minat dan bakat mereka. Jika tuan badan sendiri tidak tahu, mustahil saya pula tahu bukan? Saya boleh bantu mereka mengenali diri sendiri dan itulah hasil yang mereka peroleh. Mereka mula mengenali diri sendiri sepanjang perkenalan kami Alhamdulillah.
Saya kira itulah tugas seorang murabbi. Kita menerima hati seseorang, kemudian kita ikat dan kembangkannya agar ia bermanfaat buat Ummah. Tugas kita adalah memastikan setiap pedang yang tersembunyi di sebalik timbunan batu dan sampah dikeluarkan lantas diletakkan di lapangan juang.
Isunya adalah mereka yang kita rekrut ketika memulakan usrah tidak mengenali diri mereka sendiri. Oleh itu, kita tidak dikurniakan kemudahan untuk menyusun mereka menurut keserasian dan keberkesanan.
Katakanlah anda ada tujuh permata yang belum dibersihkan dan digilap. Anda belum lagi tahu saiz dan warnanya. Jadi, anda tak boleh buat keputusan cincin bagaimana sesuai untuknya sekarang. Tugas anda adalah membersih dan menggilap permata tersebut kemudian mengukur dan menilainya sebelum meletakkan ia pada cincin-cincin yang bersesuaian.
Ada sesetengah permata, anda ada cincin yang sesuai untuknya. Sesetengah daripadanya pula, anda tiada. Bagi permata yang anda tiada cincin yang bersesuaian, anda perlu serah kepada orang yang ada.
Begitu juga dengan pembawaan usrah. Anak-anak usrah anda hadir dalam keadaan belum dibersih dan digilap. Kita tak kenal mereka malah mereka juga belum mengenali diri mereka yang sebenar. Bermulalah proses tarbiah dan jelaslah hakikat bakat-bakat mereka.
Apabila potensi diri mereka kini terang lagi bersuluh, kita akan tahu sama ada kita ada kapasiti yang sesuai untuk mereka ataupun tidak. Adakah kita cincin yang akan menjadikan mereka lebih cantik apabila digandingkan bersama? Adakah saiz kita bersesuaian?
Pada ketika ini, penting untuk kita membuat keputusan yang sukar. Kita perlu gandingkan mereka yang serasi dan lepaskan mereka yang tidak. Ia perlu dilakukan secepat mungkin agar tiada masa terbazir dalam memastikan gerak kerja dakwah kita sentiasa berada pada tahap optimum.
"Bagaimana sekiranya kita tidak mahu lepaskan anak usrah kita yang tidak sesuai? Tidak bolehkah kita terus bersama? Kita masih boleh belajar bersama-sama biarpun berbeza sifat dan kemampuan."
Sekiranya itu adalah pemikiran kita, maka kita sedang berlaku zalim.
1) Kita zalim kepada anak usrah kita. Dia ada peluang menjadi lebih cantik bersama cincin lain, tetapi kita sengaja menjadikannya hodoh dengan meletakkannya pada kita. Malah, kita melambatkan perkembangannya hingga boleh jadi dia 'terbantut' di jalan dakwah.
2) Kita zalim kepada gerabak dakwah dan para pejuang lain. Gerabak dakwah ini seharusnya boleh digerakkan dengan lebih hebat apabila keserasian serta potensi diri setiap pejuangnya tetapi kita memilih untuk menjadikannya kudung dengan pilihan kita.
3) Kita juga zalim kepada umat manusia. Cukuplah dikatakan setiap perbuatan kita yang melambatkan gerak kerja dakwah membawa maksud kita enggan menyelamatkan umat manusia daripada azabNya.
Oleh itu, penting bagi kita merekrut dan melepaskan anak-anak usrah kita dengan efisyen dan efektif.
Ingat. Tugas kita adalah membersih para mujahid daripada debu-debu yang menghalang mereka daripada menyerlah. Kemudian kita meletakkan mereka di posisi yang paling menguntungkan mereka, kita dan seluruh umat manusia.
Selamat merekrut dan 'memecat' anak usrah anda!
...
InsyaAllah saya akan kupas perihal ini dengan lebih lanjut dalam buku saya 'Anasir Taghyir'.
Moga Allah permudah.
No comments:
Post a Comment