Total Pageviews

Home

Mencorak Kematian Diri




Salam alayk semua.

     Bismillah. Alhamdulillah saya digerakkan hati olehNya untuk menulis di blog ini setelah sekian lama. Saya akui bahawa saya tidak akan menulis di sini sekerap dahulu kerana saya perlu utamakan penulisan-penulisan buku saya insyaAllah.

     Baru sebentar tadi saya membaca artikel 'Biografi Syeikh Jum'ah Amin'. Beliau diberi gelaran 'Pemikir dan Penulis Sejarah IM' oleh penulis. Antara karya-karya masyhur beliau adalah:

     1) Di Bawah Naungan Usul 20
     2) Dakwah: Kaedah dan Usul
     3) Manhaj al-Quran dalam Penyampaian Akidah Islam
     4) Manhaj Perubahan Menurut Imam al-Banna

"Beliau hidup sezaman dengan Syeikh Hasan Al-Banna tapi tidak pernah bersama dan tidak 
pernah melihat Hasan Al-Banna tetapi telah mendengar tentangnya. Hari kesyahidan Hasan 
Al-Banna memberi kesan yang amat mendalam ke atas dirinya apabila mendengar ucapan 
guru sekolahnya mengenai berita tersebut.

Sejak itu, Syeikh Jum’ah Amin mula belajar tentang Ikhwan, mengikuti pelbagai 
aktivitinya hinggalah pada 1951, beliau bergabung dengan IM secara rasmi."

     Sejarah mempamerkan satu corak yang sama. Kematian seorang pejuang membawa kepada kelahiran pejuang-pejuang baru. Kematian Imam Hasan al-Banna selain Syeikh Jum'ah Amin, turut menjadi asbab kebersamaan Syed Qutb dalam Ikhwanul Muslimin.

     Kisah-kisah mereka membuat saya terfikirkan kisah kematian saya pula. Bagaimana saya akan mati? Soalan lebih penting: Bagaimana kematian saya akan memberi manfaat kepada Ummah? 

     Sepanjang hidup kita sebagai pendakwah, kita bersungguh-sungguh hendak memberi khidmat terbaik kepada umat manusia. Maka saya berpendapat kematian kita adalah 'The Last Service' yang kita boleh corakkan agar turut membawa impak sebesar kisah kematian Ghulam.

     Kematian adalah suatu pengakhiran yang kita tak akan pernah tahu bila apatah lagi hendak berkuasa ke atasnya. Oleh itu, satu-satunya perkara kita boleh lakukan adalah memastikan kita sentiasa berada dalam posisi idaman kematian kita.

     Sebagai contoh, seseorang itu hendak mati sebagai pelakar gerak kerja dakwah zaman Internet. Beliau ingin mati syahid sebagai seorang penunjuk jalan melalui gerakan dan juga penulisan. Cara beliau memastikan cita-cita tersebut tercapai adalah dengan sentiasa melaksanakan dua amal itu. Terus membina gerakan dan menulis tanpa henti hingga kematian tiba.

     Sekiranya tiada ruangan diberinya untuk berbuat selain daripada itu, insyaAllah dia akan berjaya mati sebagai pelakar gerak kerja dakwah zaman Internet, startup dan social entreprenuership sedang mekar yang menggunakan medium gerakan dan penulisannya.

     Kaedah ini boleh digunapakai walau apa jua kematian idaman anda. Anda hanya perlu berterusan melaksanakan gerak kerja dakwah anda dan berdoa pada Allah agar dikurniakan kematian tersebut.

     Saya tidak memiliki kuasa untuk menjamin wajah kematian saya. Walau bagaimanapun, saya yakin dengan janjiNya apabila Dia berfirman:

"Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh (bermujahadah) di jalan kami, 
niscaya akan kami tunjukan kepada mereka jalan-jalan kami."
Al-Ankabut ayat 69


2 comments:

  1. Allahuakbar! That sentence. "The last service".

    ReplyDelete
  2. saya sentiasa harap saya mati dgn bermanfaat dan dapat mnjadi teladan.


    Tapi nak merancang prjalanan tu susah... "Bagaimana kematian sy akan mmbri manfaat kepada ummah". Itulah soalan yg sukar...

    ReplyDelete