Buku yang Terhijab





    Bagi kebanyakan manusia, buku hanyalah buku. Helaian-helaian kertas yang dibariskan selari oleh gam di tulangnya. Kulitnya cantik dan baunya harum. Sentuhannya pula lembut dan mengeluarkan renjatan lembut kepada pemegangnya.

     Buku sebenarnya adalah sebuah pintu. Apabila anda berjaya membukanya, anda mampu masuk. Namun begitu, ia tidak bermakna anda berhak apatah lagi dibenarkan. Ia juga tidak menjamin anda boleh melihat di dalamnya kerana boleh jadi ia adalah ruangan yang gelap. Selain itu, pintu itu juga barangkali hanyalah pembuka kepada ribuan pintu-pintu yang lain, ia sekadar penghubung ataupun pemanis perjalanan.

    Walau apa pun sifatnya, kita tetap teruja hendak membukanya satu demi satu. Itulah kuasa buku.

     InsyaAllah kita berkongsi satu sifat yang sama iaitu rasa cinta akan buku. Kita bahagia apabila jari jemari kita dilarikan atas lembaran buku. Kita bertambah bahagia apabila buku tersebut diletakkan di rak buku bilik kita. Mengambil beberapa langkah ke belakang, hati kita melonjak ke langit melihat susunan yang indah tersebut.

    Namun begitu, saban hari berlalu, kita merasa bersalah apabila kita sekadar melintasi rak tersebut tanpa membaca mana-mana koleksi kita. Perasaan itu mengguris hati kita sedikit demi sedikit hingga akhirnya rasa cinta akan buku itu pudar.

   Berkenaan: Apabila Semangat itu Pudar

     Ketahuilah bahawa tidak salah untuk berbuat sedemikian.

      Ada buku-buku yang tugasnya adalah berada di rak kita hinggalah kita layak untuk membukanya. Ada buku-buku yang menantikan kita membesar dan menjadi matang sebelum ia membenarkan kita menyentuhnya. Ada juga buku yang menyorok daripada kita hinggalah hati kita menjadi suci dan bersedia mempelajari hakikat kehidupan yang lebih besar.

     Saya kemukakan pengalaman peribadi saya agar ianya boleh diambil sebagai inspirasi dan penenang jiwa insyaAllah.

      Kali pertama saya membaca buku Muntalaq (klik untuk beli), saya hanya mampu membaca bab pertama sahaja. Terasa sukar hendak meneruskan pembacaan kepada bab-bab seterusnya. Buku tersebut dibiarkan di rak buku buat beberapa bulan. Saya terus mengikuti program-program tarbiah sepanjang tempoh tersebut. Kali kedua saya membaca buku tersebut, saya berjaya menjejaki bab kelima pula. Sekali lagi, buku tersebut kemudiannya disimpan lama.

     Tiba-tiba, pada suatu hari itu Allah gerakkan hati saya untuk membaca Muntalaq kembali. Kali ini keajaiban berlaku. Saya berjaya menghabiskannya dalam masa satu malam sahaja. Bukan sekadar membaca, tetapi juga memahami isi dan mesej yang disampaikan oleh Sheikh Abu Ammar.

    Begitu juga dengan buku seperti 'Jalan Cinta Para Pejuang' (klik untuk beli) oleh Salim A. Fillah. Saya membelinya ketika menghadiri Ekspo Buku Islam di Jakarta beberapa bulan lepas. Saya terasa sukar hendak membacanya. Namun begitu, baru hari ini saya dipermudah urusan membaca buku itu Alhamdulillah.

     Perkara yang sama berlaku apabila melibatkan kitab-kitab seperti Fiqh Manhaji, Fiqh Sirah, Syarah hadith, Majmuatur Rasail, Qawaid Dakwah dan lain-lain.

    Sekiranya merasa sukar hendak membaca mana-mana buku, usah rasa bersalah untuk mengenepikannya terlebih dahulu. Bacalah buku yang anda mampu fahami secara mudah. Berterusanlah dalam membina diri.

    InsyaAllah, buku itu akan seru nama anda jua satu hari nanti dengan syarat anda tidak mengalah di jalan dakwah ini. Berpeganglah bahawa Allah sebaik-baik Perancang dan Allah akan temukan kita dengan buku-buku tersebut pada masa yang terbaik bagi diri kita dan juga Ummah.

    Infiru!



1 comment: