Tips Bercerita Mengenai Diri




    Tiada siapa peduli mengenai kisah hidup kita. Tiada manusia memiliki masa dan tenaga yang cukup banyak untuk mendengar kita bercerita mengenai kehidupan kita. Melainkan...

     ... kisah kehidupan kita bermakna bagi mereka.

     Begitulah manusia. Bijak memilih hanya yang bermanfaat buat diri mereka. Boleh jadi ianya demi mengisi keperluan dan tuntutan atau sekadar pemuas hawa dan nafsu dalam diri.

    Oleh itu, apabila kita memilih untuk bercerita mengenai diri sendiri atas tuntutan dakwah, pastikan kita memikirkan beberapa perkara ini terlebih dahulu:

1) Manfaat bagi pendengar

    Tanya diri anda berulang-ulang kali. Apa ibrah (pengajaran) atau ilmu yang pendengar peroleh daripada kisah anda? Adakah ianya praktikal dan releven bagi mereka? Mampukah mereka mengamalkannya selepas perkongsian anda?

    Sekiranya anda tidak menemui sebarang jawapan bagi soalan-soalan ini, besar kemungkinan anda  lebih beruntung dengan berdiam diri sahaja.

    Ingat. Tiada siapa mahu mendengar kisah anda melainkan mereka peroleh manfaat daripadanya. Manfaat tersebut boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Sama ada peroleh pahala (seperti menghadiri majlis ilmu), atau terbinanya ukhuwwah (kerana saling mengenali dan memahami) atau lain-lain.

   Berkenaan: Agenda Mengubah Dunia Perfileman

2) Berpendirian seorang pendakwah

    Kadangkala kita terlalu seronok bercerita mengenai diri kita hingga terlupa hendak mengajak mereka kepada Allah. Kita terseru mereka kepada kita sebaliknya. Nescaya perbuatan ini membinasakan kita di Dunia dan Akhirat.

    Sekali lagi, sebelum kita berkongsi mengenai apa-apa, kita perlu bermuhasabah dan beristighfar serta memohon agar diberi petunjuk olehNya. Moga-moga kita tergolong dalam mereka yang beroleh kemenangan hakiki.

3) Peka akan situasi

    Kita perlu sentiasa cakna perkembangan semasa para pendengar kita. Sebagai contoh, kisah kegemilangan kita memperoleh suatu kejayaan kurang sesuai sekiranya dikongsikan kepada golongan yang sedang berduka. Begitu juga kisah kegagalan kita dikongsi bersama mereka yang takutkan kegagalan dan memerlukan inspirasi sebaliknya.

   Berkenaan: Apabila Semangat itu Pudar

   Ambil masa yang lebih untuk memahami mereka dan insyaAllah penyampaian kita akan lebih berkesan.


...


   Akhir sekali, ingatlah.

    Fokuskan segala kudrat dalam memberi manfaat kepada Ummah.

    Moga Allah redha!

   P.s. Ya, sayalah paling perlu sentiasa muhasabah kerana banyak berkongsi. Sentiasa mendoakan ianya bermanfaat bagi anda semua!



No comments:

Post a Comment